RASULULLAH SAW telah mengarahkan tentera kaum Muslimin supaya berkumpul, kerana hendak pergi berperang. Mereka akan menyerang orang kafir Quraisy di Mekah. Lebih kurang 12,000 kaum Muslimin yang datang dari seluruh pelosok kabilah dan telah memeluk Islam datang ke Madinah.
Ada seorang lelaki yang bernama Hathib bin Abu Balta�ah telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang agama dan negara.
Hathib menulis surat kepada beberapa orang Musyrikin di Mekah. Dia memberitahu bahawa Rasulullah akan datang untuk menakluk Mekah dalam masa yang terdekat itu. Seorang perempuan diarahkan membawa surat itu ke Mekah. Perempuan itu keluar secara senyap-senyap dari Madinah.
Namun, tidak lama selepas perempuan itu meninggalkan Madinah, Rasulullah telah memanggil tiga orang kanan baginda. Mereka ialah Ali, Zubir dan al-Miqdad.
�Pergilah kamu ke kebun Khakh. Di sana ada seorang perempuan membawa surat. Ambil surat itu daripadanya dan bawa surat itu kepadaku,� kata Rasulullah.
Maka tiga orang sahabat itu pun menunggang kuda menuju ke tempat yang dinyatakan. Di situ mereka menemui seorang perempuan yang sedang menunggang seekor unta. Mereka segera menyekat perjalanan unta perempuan itu.
�Berikan surat itu kepadaku,� kata mereka kepada perempuan itu.
�Saya tidak membawa surat,� nafi perempuan itu pula.
�Rasulullah pasti tidak akan berbohong. Baik engkau serahkan surat itu cepat sebelum kami mengapa-apakan engkau,� kata mereka mengugut perempuan itu.
Perempuan tersebut ketakutan mendengar ancaman itu. Dia pun mengeluarkan sepucuk surat dari dalam sanggulnya lalu menyerahkan kepada mereka bertiga. Selepas itu, dia pun dibenarkan pergi.
Surat itupun dibawa kepada Rasulullah dan baginda memeriksa surat itu. Rupa-rupanya Hathib yang mengirimkan surat itu. Hathib dipanggil mengadap Rasulullah.
�Apakah ini, wahai Hathib?� soal Rasulullah sambil menunjukkan surat yang berada di tangannya.
�Janganlah menghukum saya terlalu cepat, wahai Rasulullah. Dengarlah apa penjelasan saya,� kata Hathib ketakutan.
�Saya ada kawan-kawan daripada golongan kafir Quraisy. Namun saya bukan daripada golongan mereka. Ada di antara golongan Muhajirin di Madinah mempunyai kaum kerabat di Mekah yang boleh menjaga harta benda dan keluarga mereka yang tidak ikut berhijrah.
�Tapi saya tidak mempunyai kaum kerabat seperti mereka. Saya ingin melakukan sesuatu kepada kawan-kawan supaya mereka akan menjaga keluarga saya yang lemah di Mekah. Saya berbuat demikian bukan sebab kufur atau murtad, tetapi kerana inginkan perlindungan kepada keluarga dan harta benda saya,� kata Hathib.
�Dia menyata yang sebenarnya,� kata Rasulullah. Allah telah berfirman: �Kerjakanlah apa yang kamu kehendaki, Aku telah memberi ampun kepada kamu�.
Oleh sebab Hathib turut serta dalam Perang Badar, maka Allah mengampunkan dosa lelaki itu. Hathib pun mengucap kesyukuran dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
PENGAJARAN
- Walaupun kita sayangkan ahli keluarga kita, kita perlulah mendahului kasih sayang kepada Allah dan agama Islam. Beriman dan taat kepada Rasulullah dengan sepenuh hati akan memperoleh kejayaan.
PERBENDAHARAAN KATA
- Musyrikin: orang yang menyekutukan Allah
- Nafi: tidak mahu mengaku
- Kufur: kafir
INFORMASI
- Hathib terhitung sebagai salah seorang yang mendapat kedudukan mulia kerana telah turut dalam peperangan Badar. Rasulullah sudah berjanji bahawa orang Islam yang turut dalam perang Badar adalah mendapat hak-hak istimewa dan dimuliakan.
(Utusan Malaysia)